KUCHING, 12 Feb: Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi tonggak utama dalam mencorak pemimpin masa depan yang berwibawa dan berkaliber, kat aTimbalan Yang Dipertuanya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, penyertaan belia dan pemimpin muda dalam PBB penting bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan dasar pembangunan yang berkesan.
“Penyertaan belia dan pemimpin muda dalam PBB adalah sangat penting. Sebagai pemimpin, mereka perlu melalui pelbagai cabaran agar apabila mereka duduk untuk membuat keputusan, mereka mempunyai pengalaman yang dapat membantu mereka membuat keputusan yang bijak, menguntungkan rakyat serta mengelakkan perpecahan dan pergaduhan.
“PBB mempunyai Sayap Belia yang terdiri daripada golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun, selain pemuda dan wanita. Ini memberi peluang kepada mereka untuk belajar cara untuk memimpin dan memahami hak politik,” katanya ketika ditemui media di Wisma Bapa Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak menegaskan bahawa pemimpin muda harus melalui pelbagai cabaran dan pengalaman agar mereka dapat membuat keputusan yang bijak demi kesejahteraan rakyat serta mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.
“Kesinambungan kepimpinan dalam PBB juga amat penting. Apabila pucuk kepimpinan bertukar, ia berlaku secara teratur tanpa sebarang isu atau konflik. Oleh itu, ia menunjukkan bahawa golongan belia memainkan peranan penting dalam keputusan politik kita.
“Saya berharap golongan belia dapat mengambil tempat dalam parti dan memberi mereka peluang untuk terlibat dalam politik, menyumbang idea-idea untuk pembangunan. Dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang, senario politik pasti akan berubah dan golongan belia perlu bersedia untuk menghadapi perubahan tersebut,” katanya.
Sayap Belia PBB dedah Uggah merupakan pergerakan atau organisasi dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang khusus untuk golongan belia berumur antara 18 hingga 28 tahun.
“Sayap ini bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk terlibat dalam politik, belajar tentang kepimpinan dan memahami hak politik,” ujarnya. -TVS