Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap merasmikan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya di Kuching, hari ini. Foto Faitullah Morni (TVS)

Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya sasar sifar projek sakit

ByMuqri Aziz

KUCHING, 12 Feb: Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya memainkan peranan utama dalam menyelaras serta memperkukuh kecekapan pelaksanaan projek infrastruktur di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menegaskan bahawa program itu bertujuan meningkatkan efisiensi serta akauntabiliti agensi teknikal bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak berkumpul di sini selama tiga hari bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam pelaksanaan projek.

“Kita perlu berganding bahu untuk meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti agar projek infrastruktur ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program itu, hari ini.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) pada Majlis Perasmian Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025. Foto Faitullah Morni (TVS)

Beliau menjelaskan bahawa program ini amat signifikan kerana masih terdapat kelemahan dan kekangan yang menghalang kecekapan penyampaian projek.

Perbincangan strategik ini diharap dapat merangka penyelesaian terbaik bagi mempertingkatkan pelaksanaan projek infrastruktur negara.

Menurut beliau, kerajaan pusat memperuntukkan bajet yang besar bagi pembangunan infrastruktur, termasuk di Sarawak dan Sabah dengan sejumlah RM9.3 bilion khusus untuk projek di bawah JKR menerusi KKR.

Peruntukan ini tidak termasuk projek lain yang dilaksanakan JKR bagi pihak kementerian seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

“Jika kita kumpulkan semua projek ini, tanggungjawab JKR Malaysia, JKR Sabah serta JKR Sarawak adalah sangat besar. Oleh itu, program seperti ini amat penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan pelbagai projek menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bermula tahun depan.

Dalam pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, beliau menyatakan bahawa lebih banyak projek infrastruktur akan dimasukkan dalam RMK-13 bagi memperkasa pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar.

“Walaupun banyak yang telah dilaksanakan, ia belum mencukupi. Tumpuan utama adalah pada pembinaan dan penambahbaikan jalan raya, jambatan serta projek naik taraf,” tambahnya.

Menurut kenyataan media, seramai 147 peserta daripada pelbagai agensi menyertai program ini yang memberi tumpuan kepada perbincangan isu-isu kritikal seperti kemajuan projek, hala tuju pengurusan, inovasi dalam pembinaan serta perkongsian teknologi dan kaedah kerja terkini.

Program ini dijangka memastikan pembangunan infrastruktur negara yang lebih mampan, berimpak tinggi, serta selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat. — TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan