PUTRAJAYA, 12 Feb: Kapal induk baharu buatan Turkiye, Multipurpose Mission Ship (MPMS) yang diterima oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kapal yang diterima dari republik itu bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.
Jelasnya, perolehan kapal yang dibina oleh syarikat Desan Shipyard itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.
“Perolehan kapal Multipurpose Mission Ship (MPMS), merupakan satu keputusan tepat kerajan dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Semalam, satu Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan antara Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dengan Turkiye yang diwakili Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoğlu.
Majlis pertukaran itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
Mohd Rosli memberitahu menerusi perjanjian itu, Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh dan memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara.
Sementara itu, katanya MPMS yang dilengkapi dengan spesifikasi canggih dan aset moden akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan.
“Tumpuan adalah khusus dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.
Beliau memberitahu syarikat Desan Shipyard telah dipilih berdasarkan merit dalam pembinaan kapal tersebut kerana kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global.
MPMS yang berukuran 99 meter meter panjang mampu membawa 70 orang kru dan 30 orang penumpang.
“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), serta turut mempunyai, helideck, fasiliti perubatan dan pusat tahanan,” katanya. – TVS