PUTRAJAYA, 11 Feb: Kerajaan akan terus memberi sokongan padu terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merupakan tunjang ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri walaupun PKS beroperasi dalam skala kecil namun berikutan jumlahnya yang banyak, ia telah menjadi sebahagian daripada industri perniagaan penting.
PKS juga kata beliau memberikan sumbangan memajukan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.
“Sejujurnya kita tidak boleh memperlekehkan betapa pentingnya PKS kerana mereka adalah majoriti dan itulah kekuatan PKS.
“Oleh itu kita mahu pihak seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan juga Lembaga Hubungan Ekonomi Antarabangsa (DEIK) Turkiye serta kementerian-kementerian lain supaya memberi fokus kepada pemerkasaan PKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia turut menghadiri forum berkenaan.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden NCCIM, Datuk Seri N. Gobalakrishnan dan Presiden DEIK, Nail Olpak.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia telah membuka laluan kepada industri PKS berkembang dalam sektor – sektor penting yang memacu ekonominya.
“Sebagai contoh bagi Malaysia, dalam dasar negara, kita memberikan keutamaan terhadap semikonduktor untuk PKS, dengan keseluruhan strategi adalah berdasarkan rantaian bekalan dan kebanyakannya adalah dalam kategori ini,” ujarnya.
Sementara itu Anwar turut memberi penghargaan kepada Erdogan yang disifatkan sebagai pemimpin yang sangat komited untuk melaksanakan rancangan memacu ekonomi.
Jelas Anwar ini terbukti dengan kejayaan Erdogan menjadikanTurkiye sebagai sebuah negara yang lebih ulung.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut berkongsi keyakinan bahawa sinergi antara Turkiye dan ASEAN yang mana Malaysia ketika ini merupakan pengerusi kesatuan 11 negara Asia Tenggara itu akan memberikan kelebihan dalam kerjasama ekonomi.
“ASEAN menjadi rantau paling aman dan antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia,” katanya. -TVS.