Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu akan berlangsung di Kuching bermula Khamis hingga Ahad ini.

Calon-calon Ahli Majlis Tertinggi PBB bersaing dalam semangat kekeluargaan

KUCHING, 11 Feb: Calon-calon yang bertanding bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (Bumiputera), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempamerkan semangat juang yang tinggi tanpa mengabaikan perpaduan dalam parti.

Daripada 20 calon yang bertanding bagi 16 jawatan, TVS berpeluang menghubungi empat daripadanya bagi mendapatkan reaksi pencalonan susulan proses cabut undi bagi menentukan nombor dalam kertas undi, hari ini.

Calon nombor 18, Datuk Abdullah Saidol berkata perjuangan beliau dalam parti adalah untuk menjadi sebahagian dari suara yang mewakili kawasan luar bandar terutama daerah pesisir.

Beliau yang bertanding kali kedua ke jawatan itu menjelaskan agenda pembangunan yang beliau tekankan adalah untuk merapatkan jurang kemakmuran dan keselesaan antara kawasan pendalaman dan bandar.

“Saya juga bersungguh-sungguh memastikan sosioekonomi warga pedalaman dapat dinaik taraf melalui aktiviti  ekonomi hasil pertanian dan laut,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS).

Menurutnya, tidak ketinggalan adalah usaha untuk membina anak muda desa yang berjaya bukan sahaja dari segi pendidikan tetapi juga dalam bidang keusahawanan.

Bagi calon nombor 19, Datuk Mohammad Razi Sitam, beliau menawarkan diri sebagai calon adalah untuk memberi khidmat bakti kepada rakyat Sarawak menerusi PBB.

“PBB mampu menjadi wadah penyatuan rakyat Sarawak dan menerajui kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan cemerlang.

“Kesinambungan pimpinan parti amat penting utk PBB terus kekal sebagai platform pengukuhan perpaduan yang berterusan di dalam parti,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi menyeru para perwakilan mengundi beliau dengan falsafah mengutamakan kepentingan Sarawak.

“Undi saya untuk kepimpinan yang berwawasan dan komited. Bersama kita maju makmur,” kata calon bernombor lapan.

Dalam pada itu, calon Ahli Majlis Tertinggi bagi sayap Pesaka, Dato Dennis Ngau berkata beliau yakin tradisi sihat dalam pemilihan terus subur.

“Yang menang kita sokong dan yang kalah cuba lagi, yang penting kita semua jaga parti keramat ini sebaik mungkin,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan itu turut menekankan kepentingan memperkukuhkan parti agar terus menjadi tunjang di Sarawak.

“Saya menganggap pemilihan ini merupakan hal ehwal keluarga. Kita akan teruskan perjuangan parti bersama-sama,” katanya.

Perhimpunan Agung PBB akan berlangsung di Kuching bermula Khamis hingga Ahad ini dengan bertemakan “PBB Tonggak Kestabilan, Kemajuan dan Kelestarian Sarawak”.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan perhimpunan itu pada Sabtu.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan