SUBANG JAYA, 11 Feb: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung video tular menunjukkan dua lelaki melepaskan tiga ekor ular sawa ke dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan dibuat oleh seorang lelaki tempatan di Balai Polis Putra Heights pada 10.15 pagi, 3 Februari lalu.
Kata beliau, pengadu berbuat demikian selepas melihat rakaman video menerusi aplikasi WhatApps.
“Pengadu melihat dua lelaki Cina dan seorang perempuan Cina menaiki kenderaan telah melepaskan tiga ekor ular sawa di dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights.
“Pengadu mengatakan dia membuat laporan kerana bimbang keselamatan diri dan keluarga,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Azlan berkata, siasatan mendapati ular itu telah dilepaskan ke dalam longkang berkenaan pada pertengahan Januari 2025.
“Kes dirujuk kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya. -TVS.