PUTRAJAYA, 11 Feb: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkeyakinan Malaysia dan Turkiye mampu mencapai nilai perdagangan baharu yang tinggi mencecah A$10 bilion berdasarkan petunjuk ekonomi masing – masing.
Jelas Perdana Menteri, cadangan oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam untuk meningkatkan jumlah dagangan dua hala Malaysia – Turkiye sebagai cita-cita tinggi yang boleh direalisasikan.
“Tiada sebab mengapa ekonomi membangun dan pesat seperti Malaysia dan Turkiye tidak boleh meningkatkan perdagangan intra ini,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Erdogan di sini sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kedua – dua negara perlu meneroka pelbagai bidang yang menjanjikan pulangan ekonomi.
“Sehubungan itu, kita (Malaysia dan Turkiye) perlu meningkatkan kerjasama rentas sektor seperti semikonduktor, pertanian, elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman serta pertahanan,” katanya.
Kata Anwar, jumlah MoU yang banyak itu jarang berlaku dalam hubungan Malaysia dengan kebanyakan negara lain.
“Ini adalah kerjasama maksimum yang bermakna oleh menteri-menteri, birokrat dan syarikat perniagaan yang telah mengambil komitmen ini dengan sangat serius untuk melaksakannya,” katanya.
Antara perjanjian penting yang dimeterai adalah termasuk MoU kerjasama dalam peralihan tenaga di antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadilah Yusof dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar. – TVS