KUALA LUMPUR, 10 Feb: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berdepan tugas kompleks untuk mengekalkan kesatuan dan kestabilan rantau ini di tengah-tengah ketegangan geopolitik antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Pensyarah Kanan Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, Malaysia juga bertanggungjawab untuk memastikan ASEAN tidak menjadi ‘proxy war’ oleh kedua-dua kuasa besar berkenaan.

Jelas beliau AS telah meningkatkan rondaan maritim di perairan Laut China Selatan bagi mencabar tuntutan China terhadap keseluruhan kawasan itu.
“(Di pihak) China (pula, mereka) berterusan membina infrastruktur ketenteraan di kawasan pertikaian,” katanya ketika dihubungi TVS.
Berdasarkan perkembangan berkenaan kata beliau, kepimpinan Malaysia tahun ini tidak mudah selepas ‘menerima baton’ dari Laos.
“(Berkenaan) usaha mengekalkan keutuhan ASEAN, Malaysia perlu menekankan kepada dua kuasa besar itu bahawa blok ini berpegang kepada Prinsip Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang menolak pengaruh luar.
“(Pada masa sama), tekanan juga perlu diberikan kepada China untuk memuktamadkan dan mengesahkan rundingan Tatalaku (COC) Laut China Selatan dengan negara anggota ASEAN.
“COC sudah tertangguh lebih dua dekad (dan ka sangat penting kerana) mengikat secara undang-undang bagi mengurangkan ketegangan dan memberikan ASEAN posisi yang lebih kukuh dalam rundingan,” katanya.
Sementara itu, Malaysia juga disaran untuk menggalakkan lebih banyak latihan ketenteraan bersama oleh negara-negara Asean.
Katanya, langkah itu bagi meningkatkan keupayaan maritim rantau ini tanpa mencetuskan ketegangan dengan China.
Sehubungan itu, Awang Azman berkata Malaysia sebagai pengerusi perlu memimpin rantau ini dengan kebijaksanaan serta diplomasi yang tinggi bagi memastikan ASEAN tidak menjadi mangsa pertembungan dua kuasa besar itu. – TVS