Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju dalam industri penjagaan (caregiver) di ASEAN. Foto fail AFP

Malaysia antara peneraju industri penjagaan, perkukuh peranan Kepengerusian ASEAN 2025

ByMuqri Aziz

LUNDU, 8 Feb: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju dalam industri penjagaan (caregiver) di ASEAN, seiring dengan komitmen negara untuk memperkasa sektor ini menjelang status negara menua tahun 2030 dan negara tua pada 2044.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata Malaysia bukan sahaja memperkukuh tenaga kerja dalam sektor penjagaan, tetapi turut menjadi rujukan bagi negara ASEAN lain dalam membangunkan ekosistem penjagaan yang mampan dan berdaya saing.

“Kita antara negara yang terkehadapan dalam melaksanakan program caregivers.

“Kita telah menjalankan latihan khusus untuk mereka, dan delegasi ASEAN akan berpeluang melihat sendiri bagaimana Malaysia menguruskan sektor ini,” katanya.

Datuk Seri Nancy Shukri ketika ditemui media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat dan Sumbangan Back To School Sesi Persekolahan 2025 di Pusat Latihan SALCRA Bajo, di sini, hari ini.

Sempena Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai program berkaitan industri penjagaan, yang akan menampilkan keupayaan negara dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja penjagaan.

“Kita sudah ada program yang akan dilaksanakan, malah kita telah berbincang dengan pihak Laos dan negara lain.

“Insya-Allah, saya mungkin akan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlebih dahulu untuk perbincangan lanjut, bergantung kepada perancangan yang telah dibuat dan akan dipersetujui secara rasmi,” ujarnya lagi.

Pada Sidang Kemuncak Pemimpin Wanita ASEAN Ke-3 di Laos tahun lalu, Malaysia telah menyatakan sokongan terhadap Declaration on Strengthening the Care Economy and Resilience Towards the Post-2025 ASEAN Community.

Selain itu, kementeriannya juga sedang merangka Pelan Tindakan Industri Penjagaan Malaysia, dengan sasaran melahirkan 385 pelatih berkemahiran tinggi bagi memperkukuh tenaga kerja dalam sektor ini.

Industri penjagaan bukan sahaja penting untuk kesejahteraan sosial, tetapi juga berpotensi menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas, orang kurang upaya (OKU), dan kanak-kanak, kata Nancy. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan