PUCHONG, 8 Feb: Kementerian Ekonomi perlu diberi masa untuk mengubah sistem pengelasan kumpulan pendapatan bagi memastikan struktur baharu yang dirangka lebih komprehensif dan bersesuaian.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penyemakan semula sistem pengelasan sedia ada perlu dilaksanakan dengan teliti dan kefahaman data yang tinggi.“Kita (kerajaan) tidak mahu buat cepat dan laju, nanti tersalah. Kita patut bagi masa dengan Kementerian ekonomi untuk buat habis usaha mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran “Program Satu Pemimpin Satu Kampung Santuni MADANI” anjuran CIMB Group Holdings Bhd di sini, hari ini.
Jelasnya, kementerian itu sedang menganalisa Pangkalan Data Utama (PADU) bagi menentukan titik pemutus atau cut-point bagi memastikan penyasaran subsidi ditujukan kepada kumpulan yang benar-benar layak.
“Ini diusahakan Kementerian Ekonomi dan kita berharap tidak lama lagi akan dimuktamadkan,” katanya. – TVS