KUCHING, 8 Feb: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia membuka tirainya tahun ini dengan AirAsia Travel Fair 2025 di Bandaraya ini dengan menawarkan pelbagai promosi hebat kepada para pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Captain Fareh Mazputra menzahirkan kebanggaan berkaitan syarikat penerbangan itu terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelancongan Sarawak, selaras dengan sasaran negeri ini untuk mencapai lima juta ketibaan pelancong pada tahun 2025.
“Ini membuktikan komitmen teguh kami terhadap Sarawak dengan Kuching sebagai salah satu hab utama kami di Malaysia dan lebih 750 kakitangan Allstars yang berdedikasi berkhidmat untuk para tetamu kami di seluruh negeri ini.
“Dengan rangkaian penerbangan yang tiada tandingan ke destinasi domestik dan antarabangsa, AirAsia berbangga menjadi syarikat penerbangan jenama tempatan yang telah menerajui perjalanan mampu milik dari Sarawak selama lebih dua dekad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, acara ini merupakan salah satu usaha untuk membawa pengembara lebih dekat dengan destinasi impian mereka sambil mempromosikan Sarawak sebagai destinasi yang harus dilawati di Malaysia dan di seluruh Asean.
Dalam masa sama ketika ditemui TVS, salah seorang pengunjung Bong Fung Jin meluahkan kegembiraanya apabila impian untuk menggembara menjadi kenyataan.
“Saya hanya memerlukan masa 20 minit untuk membeli tiket saya. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan saya juga menerima diskaun sebanyak 30 peratus untuk tempahan pra hidangan,” katanya ketika ditemui di TVS AirAsia Travel Fair Kuching 2025 di Vivacity Megamall di sini, hari ini.
Turut senada adalah Harmisa Baharuddin berkata bahawa acara ini membantunya untuk mendapatkan tiket penerbangan pada harga yang rendah.
“Pameran pelancongan ini amat bagus kerana ia memberikan peluang untuk mendapatkan tiket yang murah.
“Biasanya, harga untuk bagasi lebih mahal jika dibeli secara dalam talian. Jadi, tawaran di sini sangat menguntungkan kerana dapat menjimatkan kos, sekaligus memudahkan kami membeli bagasi yang diperlukan,” katanya lagi.

Tambah Harmisa, beliau berpuas hati dengan layanan kakitangan yang mesra sekali gus memberikan jawapan yang jelas terhadap setiap soalan yang diajukan oleh pelanggan.
Bertempat di Vivacity Megamall Kuching, Air Asia Travel Fair Kuching 2025 menawarkan potongan hebat termasuk diskaun sehingga 25 peratus untuk tambang penerbangan dari Kuching dengan potongan 50 peratus untuk pra-tempahan tambang bagasi daftar masuk, serta diskaun sehingga 33 peratus untuk pra-tempahan hidangan Santan.
Berlangsung selama dua hari bermula hari ini, turut disediakan adalah permainan mini dan ccabutan bertuah untuk para pengunjung. – TVS