KUALA LUMPUR, 6 Feb: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan perairan maritim Malaysia berada dalam keadaan selamat dan terkawal dengan tahap kesiapsiagaan kawalan sempadan maritim pada tahap optimum.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelbagai strategi telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan perairan negara terus dipertahankan.
Katanya, keselamatan perairan negara ini dikawal oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“APMM memiliki 237 aset kapal dan bot, lapan pesawat udara, dan 14 RADAR (Remote Sensor Site) yang sentiasa siapsiaga menjaga perairan negara.
“Secara keseluruhannya, di kawasan perairan utara Semenanjung Malaysia, APMM memiliki aset maritim sebanyak 39 buah yang merangkumi 12 buah kapal dan 27 bot.
“Daripada bilangan tersebut, sebanyak tiga buah kapal dan tujuh buah bot telah ditempatkan di kawasan perairan Pulau Langkawi bagi tujuan penguatkuasaan dan rondaan sempadan maritim,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Barisan Nasional – Pekan) yang ingin tahu tahap kesiapsiagaan pengawalan sempadan perairan negara bagi menangani masalah pencerobohan oleh pendatang asing tanpa izin yang cuba menjadikan Malaysia sebagai lokasi pendaratan.
Selain APMM, Shamsul memberitahu, Pasukan Polis Marin (PPM) juga menyokong pengoperasian di perairan negara dengan jumlah aset 188 termasuk 33 aset kapal dan bot rondaan yang bersedia di kawasan perairan utara Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, OP GUARD 4.0 telah diaktifkan bagi menangani pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), khususnya etnik Rohingya Myanmar di perairan Pulau Langkawi menerusi kerjasama TLDM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain bantuan pengoperasian dari TLDM, PPM, PDRM dan JIM, APMM turut menerima bantuan maklumat risikan dari negara jiran, Thailand berkenaan pengesanan bot PATI,” katanya.
Dari segi teknologi, Shamsul berkata, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) telah dinaik taraf pada 2023 dan kini dilengkapi dengan sistem yang menyepadukan pelbagai data pemantauan untuk meningkatkan keberkesanan operasi maritim.
Justeru, tambahnya, kerajaan kekal komited untuk memperkukuh keselamatan maritim negara melalui peningkatan keupayaan aset, pengukuhan kerjasama strategik serta penggunaan teknologi moden bagi memastikan perairan Malaysia terus berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Ini dapat dilihat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu pada tahun 2023 dan 2024 yang menunjukkan tiada rekod kemasukan PATI melalui perairan Pulau Langkawi kecuali pada tahun 2025,” ujarnya. – TVS