KUALA LUMPUR, 6 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengadakan pertemuan dengan kenalan lamanya di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Pertemuan itu dihadiri bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Azhar Azizan @ Harun, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Seri Azman Ujang dan Pesuruhjaya SUHAKAM Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Tun Wan Junaidi, beliau menggunakan kesempatan ini untuk berbincang serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa.
“Pertemuan ini turut mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan persahabatan yang telah terjalin sekian lama,” kata hantaran itu.
Beliau berharap agar hubungan silaturahim ini terus kekal erat dan menzahirkan doa agar semua kenalan serta sahabat handai sentiasa dikurniakan kesejahteraan dan kejayaan dalam segala lapangan.