KUALA LUMPUR, 5 Feb: Tekonologi Kecerdasan Buatan (AI) semakin membuktikan keupayaannya dalam bidang perubatan, khususnya dalam saringan kanser menerusi pemeriksaan x-ray dan mamogram.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses diagnosis tetapi juga meningkatkan ketepatan dalam mengesan penyakit serius seperti kanser.
“Penggunaan AI dalam x-ray dada menunjukkan sensitiviti yang lebih tinggi (56.4% hingga 95.7%) berbanding dengan pakar radiologi (23.2% hingga 76%) dalam mengesan nodul paru-paru dengan spesifisiti yang setanding.
“Manakala, penggunaan AI dalam x-ray dada dapat membantu pelatih pakar radiologi mengesan lebih banyak kes yang memerlukan pemeriksaan Computed Tomography (CT) (peningkatan dari 54.7% kepada 70.2%), manakala bagi pakar radiologi pula, AI membantu mengurangkan rujukan CT yang tidak perlu (penurunan dari 16.4% kepada 11.7%),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (Perikatan Nasional – Hulu Selangor) mengenai keberhasilan awal kajian yang dijalankan mengenai penggunaan AI dalam membantu pakar perubatan radiologi mengesan penyakit khusus seperti kanser.
Selain itu, menurutnya, dalam saringan kanser payudara pula, AI telah meningkatkan ketepatan bacaan mamogram, membolehkan diagnosis yang lebih tepat serta mengurangkan keperluan biopsi yang tidak diperlukan.
Sementara itu, mengulas soalan tambahan Mohd Hasnizan tentang pewujudan modul pembelajaran AI dalam silibus perubatan dan kejururawatan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Lukanisman berkata, ia masih memerlukan kajian yang lebih komprehensif.
“Kita mendapati banyak negara-negara lain juga sedang mengusahakan penggunaan AI dalam sektor kesihatan.
“Penggunaan AI ini tidak dapat hanya bergantung dengan satu-satu teknologi tetapi juga memerlukan kemahiran yang ada pada pakar-pakar yang sedia ada,” ujarnya.
Kata beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut berkenaan usaha untuk membangunkan modul pembelajaran AI di semua institut pengajian tinggi di negara ini dan pada masa sama, bahagian perkembangan perubatan negara sedang mengkaji dengan teliti mengenai penggunaan AI dalam sektor perubatan. – TVS