KUALA LUMPUR, 4 Feb: Malaysia terus memperjuangkan hak dan kemerdekaan Palestin di pentas antarabangsa meskipun usaha tersebut sering disekat oleh kuasa veto dalam Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersama negara-negara sama pemikiran telah menyokong resolusi-resolusi penting di Perhimpunan Agung PBB yang mengecam tindakan Israel dan mendesak pampasan atas kemusnahan yang ditimbulkan.
Tegasnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan termasuk membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Baru-baru ini, pada 19 Disember 2024,Malaysia menyertai dan menyokong resolusi PBB dengan membawa usul untuk mendapatkan pendapat undang-undang daripada ICJ berkenaan dengan kekejaman dilakukan rejim Zionis (di Gaza).
“Malaysia juga merupakan ahli Core Group yang diterajui Norway serta dianggotai oleh Afrika Selatan, Arab Saudi, Guyana, Indonesia, Ireland, Jordan, Mesir, Namibia, Palestin, Qatar, Sepanyol dan Slovenia yang membuat pernyataan resolusi PBB yang mahu membawa Israel ke muka pengadilan dan mengemukakan resolusi baharu untuk kita mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan – Ledang) yang ingin mengetahui tindakan terkini Malaysia untuk pembebasan Palestin dan tindakan usul penyingkiran negara haram Israel daripada PBB.
Selain itu, kata Mohamad, Malaysia bersama negara-negara Islam dan Arab giat melobi untuk menggantung penyertaan Israel dalam PBB, selaras dengan resolusi Sidang Kemuncak Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam pada November 2024.
“Boleh disingkirkan sesebuah negara yang menjadi ahli PBB melalui Perkara 5 dan 6 tetapi perlu mendapat mandat daripada majoriti ahli PBB. Perkara ini yang susah walaupun resolusi telah diluluskan.
“Seperti baru-baru ini, 124 buah negara bersetuju tetapi diveto (tidak setuju) di peringkat Majlis Keselamatan PBB. Itu sebabnya semasa saya berhujah kepada mereka (PBB) agar kuasa veto ini dihadkan.
“Ia tidak boleh digunakan untuk isu-isu yang ada bersangkutan dengan genosid ataupun kekejaman terhadap kemanusian ataupun pelanggaran-pelanggaran yang menyebabkan kemusnahan pada negara atau kepada manusia,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, Malaysia terus komited dalam memperjuangkan keadilan dan hak rakyat Palestin di semua peringkat dan membuktikan bahawa suara solidariti antarabangsa semakin kuat dalam menuntut keamanan dan kemerdekaan Palestin. – TVS