KUCHING, 3 Feb: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua seperti diramalkan Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia baru-baru ini.
Pengarahnya Mokhtar Samat ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah termasuk menambah kekuatan anggota yang akan turun di lapangan.
“Selepas mendapat tahu ramalan hujan daripada Jabatan Meteorologi, kita telah mengambil langkah dengan menambah bilangan anggota selain mengenal pasti beberapa tempat baharu yang mungkin terlepas pandang semasa bencana yang awal dahulu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga mengambil tindakan dengan melantik pembekal di lapangan untuk proses penyelenggaraan kenderaan khususnya lori dan bot bagi memastikan logistik berada dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Mokhtar turut memaklumkan terdapat enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah ditutup hari ini dan hanya 42 PPS yang masih aktif.
“Walau bagaimanapun, hari ini juga terdapat satu penambahan PPS yang baharu dibuka iaitu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sebauh.
“Berdasarkan keadaan cuaca hari ini dan semalam, dijangka akan lebih banyak PPS yang akan ditutup,” ujarnya. – TVS