KUCHING, 3 Feb: Sebanyak 671 kes jangkitan salur pernafasan akut direkodkan berlaku di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah dan Sarawak.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 9,379 mangsa diperiksa dan diberikan rawatan di PPS.
“Daripada jumlah tersebut, kes jangkitan salur pernafasan akut merekodkan jumlah tertinggi dengan 671 kes, jangkitan kulit (82 kes), gastroenteritis akut (37 kes), konjunktivitis (17 kes) dan satu kes Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (HFMD) turut dilaporkan.
“Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, COVID-19 dan kejadian wabak dilaporkan di PPS,” menurut kenyataan tersebut.
KKM juga telah menggerakkan pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) yang melibatkan tiga pasukan dari Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Psikologi, anggota paramedik serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori.
“Sehingga kini, tiada mangsa banjir yang dikesan mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital. Pelbagai aktiviti intervensi teknik relaksasi, ekspresi seni serta psiko-pendidikan telah dijalankan,” jelas kenyataan tersebut.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah juga telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan masing-masing iaitu 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua PPS terlibat.
“Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 30 fasiliti kesihatan yang terjejas banjir di Sarawak dan daripada jumlah tersebut sebanyak 22 fasiliti telah beroperasi semula.
“Di Sabah, secara keseluruhan, terdapat 27 fasiliti yang terjejas banjir dan kesemua fasiliti tersebut telah beroperasi semula,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan serta mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit. – TVS