SERIAN, 1 Feb: Mangsa banjir yang enggan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) perlu menyatakan alasan munasabah bagi memohon bantuan awal berjumlah RM1,000.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menegaskan bantuan awal terbabit diperuntukkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja ketika ini.
Namun begitu kata Uggah sekiranya mereka memiliki
alasan munasabah mengapa mereka enggan berpindah, pihak berkuasa akan mempertimbangkan permohonan bantuan tersebut.
“Nasihat kami kepada residen dan pengerusi pengurusan bencana di peringkat bahagian adalah supaya mereka menyenaraikan nama-nama ini dan mengenal pasti mengapa mereka enggan berpindah. Jika alasan mereka munasabah, kita boleh pertimbangkan.
“Tetapi, kami tidak boleh memberitahu mereka sekarang bahawa kita akan memberi pampasan kerana jika tidak, tiada siapa yang mahu berpindah. Masalahnya, jika mereka tidak berpindah dan berlaku sesuatu, seperti air banjir naik atau kejadian lain, kami yang akan dipersalahkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di PPS Ranchan di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya amat mementingkan hal ehwal nyawa dan susulan itu semua jentera digerakkan ke PPS.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut menjelaskan bahawa keadaan di beberapa lokasi seperti di Bintulu sangat sesak, dengan hampir 2,000 penduduk dipindahkan ke PPS.
Walaupun terdapat penduduk yang enggan berpindah, pihak berkuasa terus memujuk mereka untuk keselamatan mereka.
“Jadi, nasihat kami kepada jentera adalah untuk memujuk mereka supaya berpindah kerana kami bimbang jika apa-apa berlaku nanti, kami akan dipersalahkan.
“Sudah tentu mereka risau akan harta benda mereka, tetapi Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata serta anggota polis sentiasa memantau kawasan tersebut bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk melakukan kecurian atau kejadian yang tidak diingini,” katanya lagi.
Beliau dalam masa menyatakan bagi mereka enggan berpindah ke PPS boleh menghungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) untuk pendaftaran dan pertimbangan lanjut oleh pegawai JPBB. – TVS