BINTULU, 1 Feb: Kerajaan Sarawak meneliti bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa banjir di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memainkan peranan ketika ini dalam menilai tahap kerosakan akibat bencana.
“Banjir ini bukan disebabkan oleh infrastruktur tetapi keadaan yang sangat mencabar dan tidak menentu akibat masalah iklim.
“Inilah sebabnya Kerajaan menekankan mengenai perubahan iklim kerana kepanasan yang dihadapi oleh planet kita menjadi semakin luar biasa dan menjejaskan pola cuaca,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemindahan Segera (PPS) Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan, musibah yang dihadapi juga adalah suatu perkara yang tidak dijangka kerana hujan lebat yang turun sehingga 900mm menjangkaui paras purata hujan 100mm sehari.
Terdahulu semalam, Abang Johari mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM10juta sebagai bantuan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri.
Dalam masa sama, beliau meyakini kerajaan negeri akan membaik pulih infrastruktur asas yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Untuk rekod, Bahagian Bintulu merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 5,712 mangsa setakat jam 4 petang tadi dan menjejaskan lebih 67 taman perumahan dan kampung di kawasan berkenaan.
PPS Dewan Suarah Bintulu menempatkan lebih 1,037 mangsa banjir manakala PPS Paragon catatan mangsa paling ramai sebanyak 1,968 mangsa. -TVS