KUCHING, 1 Feb: Susulan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) meramalkan kemungkinan berlakunya banjir di beberapa bahagian di Sarawak hari ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) melalui jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan tujuh bahagian Sarawak dijangka berlakunya banjir membabitkan Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa JPS akan terus membuat pemantauan dan mengemaskini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai tersebut.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku awal atau lewat dari tarikh yang dijangkakan.
“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” ujar kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, JPS menyarankan orang ramai untuk mendapatkan maklumat terkini serta amaran semasa melalui laman web rasmi jabatan itu atau melalui Facebook Public Info Banjir.
Terdahulu, MetMalaysia melaporkan bahawa tujuh kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei dan Meradong) dan Mukah dijangka akan berlakunya hujan berterusan sehingga hari ini.

Bukan itu sahaja, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan kawasan di utara Sarawak iaitu di Miri melibatkan kawasan Subis, Beluru dan Miri pada pukul 7.15 pagi tadi.
Negeri Selangor iaitu di kawasan Klang, Kuala Langat dan Sepang turut dijangka berlakunya ribut petir sehingga jam 9 pagi ini. – TVS