MIRI, 30 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meneruskan kunjungan hari kedua sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Miri, hari ini.
Terdahulu, Tun Dr Wan Junaidi, isteri dan tetamu kehormat lain melawat mangsa banjir dan tanah runtuh di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah Miri, di sini.
Kehadiran Tun Dr Wan Junaidi, isteri dan rombongan diakui menyuntik semangat dan memberi sokongan moral kepada mereka yang terkesan.
Sejurus itu,Tun Dr Wan Junaidi mengunjungi kediaman Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew di sini.
Turut mengiringi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan beberapa tetamu kehormat lain.
Selesai rangka lawatan di Miri, Tun Dr Wan Junaidi dan isteri berangkat pulang ke Kuching. – TVS