SERIAN, 30 Jan: Seramai 77 mangsa banjir daripada 22 keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Tebakang di sini terpaksa ‘bergelap’ susulan bekalan elektrik di sini terputus sejak 24 jam lepas.
Menurut Pembantu Pembangunan Masyarakat, Malini Kimpian, gangguan bekalan berlaku ekoran semua tiang elektrik di kawasan Tebakang ditenggelami air sekali gus menyebabkan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) terpaksa menutup suis keselamatan pada tengah hari, 28 Januari lepas.
“Bekalan elektrik tidak dapat dipulihkan dengan segera kerana keadaan air masih tinggi.
“Situasi ini menyukarkan mangsa di PPS yang bergantung kepada bekalan elektrik untuk keperluan harian,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Tebakang di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya pihak polis dengan kerjasama agensi berkaitan menghantar sebuah mesin generator ke PPS berkenaan dan berjaya menghidupkan semula bekalan elektrik pada 29 Januari sekitar jam 5 petang.
“Tindakan pantas pihak berkuasa menghantar generator amat membantu mangsa yang berlindung di PPS, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keperluan khas dan warga emas,” tambah Malini.
Setakat petang ini, tiga keluarga telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada jam 2 petang selepas keadaan banjir di kawasan mereka mulai surut.
PPS SK Tebakang menempatkan penduduk dari Tebakang Melayu dan Tebakang Bidayuh, yang terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air sejak hujan lebat melanda kawasan itu. – TVS