KUCHING, 30 Jan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diarahkan menyegerakan kerja-kerja membaik pulih beberapa jalan raya terkesan akibat hujan lebat dan banjir melanda beberapa Bahagian di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata meskipun skala kerosakan jalan raya di Lebuhraya Pan Borneo belum dikenal pasti sepenuhnya, namun kerja baik pulih di kawasan yang kritikal perlu disegerakan.
“Terdapat kerosakan di beberapa jalan Pan Borneo. Saya tidak dapat memberikan jumlah sebenar kerosakan (jalan) ketika ini tetapi kami telah mengarahkan JKR untuk membaik pulih segera jalan yang rosak.
“Misalnya di Mambong mengalami kerosakan teruk iaitu hampir separuh jalan terputus. Oleh itu, saya mengarahkan agar JKR memantau keadaan jalan sekiranya terdapat kerosakan,” katanya kepada media semasa mengadakan tinjauan di Pusat Permindahan Sementara (PPS) SJK Chung Hua Batu Kawa.
Dalam pada itu, Uggah menyeru agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai keadaan banjir yang boleh menimbulkan kebimbangan.
“Pagi tadi saya nampak macam-macam (maklumat) di media sosial. Jadi saya nasihatkan jangan menyebarkan amaran tidak sahih kerana memang terdapat agensi yang telah membuat terbaik untuk memberikan laporan mengenai situasi terkini khususnya dari sekretariat,” ujarnya. – TVS