MIRI, 29 Jan: Mangsa banjir di Kampung 1Malaysia di Jalan Miri Bypass di sini merayu agar bantuan disalurkan kepada mereka dengan kadar segera.
Menurut salah seorang mangsa, Japang Pasang, air mulai naik dengan cepat pada Isnin lalu didapati terus meningkat lebih teruk pada keesokan harinya (Selasa) dan kini hampir semua rumah di kampung tersebut ditenggelami air.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau jawatankuasa lain dapat membantu keluarga saya dan seluruh kampung,” katanya ketika ditemui oleh TVS di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kawasan Pujut, hari ini.
Turut ditemui, Nancy Purai Lah yang berkongsi detik cemas apabila air banjir mula memasuki rumahnya secara tiba-tiba pada waktu pagi.
“Kami semua terkejut apabila bangun pagi, air sudah masuk ke dalam bilik. Kami segera keluar mencari tempat yang lebih selamat dan menumpang di rumah jiran serta saudara-mara berdekatan,” katanya.
Nancy juga berharap agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, dapat menyediakan kenderaan untuk membawa mereka ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat.
“Kami datang ke Miri untuk tujuan perubatan, bukan untuk menghadapi situasi seperti ini. Jika boleh, kami mohon bantuan untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat dan tidak terjejas banjir,” katanya lagi.
Setakat ini, bantuan telah mula disalurkan kepada mangsa yang berlindung di dewan komuniti berdekatan. – TVS