KUCHING, 29 Jan: Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada ketika musim hujan, terutama kawasan berisiko banjir yang dikhuatiri muncul haiwan berbahaya seperti buaya.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada berada di kawasan berisiko seperti parit besar, tebing sungai, dan kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
“Elakkan melalui atau bermain di sekitar parit besar perumahan dan tepi sungai, terutamanya ketika hujan lebat atau banjir. Kemunculan buaya mungkin berlaku tanpa disedari,” menurut kenyataan itu.
SFC turut menggesa masyarakat supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai keadaan banjir dan sebarang laporan berkaitan ancaman hidupan liar.
Langkah ini penting untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil jika berlaku sebarang insiden.
Pemilik haiwan peliharaan juga dinasihatkan supaya memastikan keselamatan haiwan mereka dan tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran bagi mengelak sebarang risiko.
Orang ramai juga disarankan untuk menyimpan nombor kecemasan bagi mendapatkan bantuan segera sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Simpan nombor-nombor kecemasan dalam telefon supaya mudah dihubungi sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” tambah kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut atau melaporkan sebarang insiden berkaitan hidupan liar, orang ramai boleh menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan.-TVS