KUCHING, 28 Jan: Perayaan Tahun Baru Cina bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Cina, malah ia merupakan wadah perpaduan di Sarawak yang diwarnai dengan pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menyifatkan sambutan menurut astrologi Cina iaitu Tahun Ular kali ini melambangkan membawa kepada kekayaan dan kemakmuran selain ia sering dikaitkan dengan kebijaksanaan, transformasi dan kemampuan beradaptasi.
“Tahun Baru Cina 2025 merupakan tahun yang melambangkan perpaduan semua kaum di Sarawak. Ia menjadi lambang Sarawak sebagai wilayah yang maju dan makmur.
“Terlebih dahulu, saya mewakili Perkhidmatan Awam Sarawak ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2025 kepada seluruh masyarakat Cina di Bumi Kenyalang, terutama sekali kepada rakan-rakan kita penjawat awam Sarawak, yang berbangsa Cina” katanya menerusi perutusan Tahun Baru Cina 2025, hari ini.
Menurutnya, nilai-nilai yang dikaitkan dengan Tahun Ular adalah relevan dengan tugas penjawat awam.
Justeru itu beliau mahu penjawat awam menggalas tanggungjawab dengan cekap, berdedikasi dan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran baharu.
“Ia penting terutamanya di Perkhidmatan Awam Sarawak untuk berfikir dengan lebih bijak, kreatif dan efektif. Kita juga harus berani meneroka idea di luar kotak, berpandukan moral dan etika, iaitu jujur dan integriti,” tambahnya.
Beliau dalam pada itu menyifatkan perpaduan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak adalah ibarat seperti hidangan istimewa “Yee Sang” yang kaya dengan pelbagai ramuan, warna dan rasa.
“Begitulah juga dengan Sarawak, yang kaya dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
“Perpaduan juga merupakan teras utama di Perkhidmatan Awam Sarawak. Perpaduan menjadi aset penting agar dapat terus bekerja dalam satu pasukan, dengan semangat Sarawak Civil Service (SCS) One Team,” ujarnya.