CYBERJAYA, 28 Jan: Kerajaan tidak akan menangguhkan tindakan terhadap penyedia media platform yang gagal mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) yang berkuatkuasa sejak 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata walaupun setiap penyedia media platform mempunyai pandangan masing- masing mengenai perkara itu, namun tindakan perlu diambil.
“Google, Microsoft yang uruskan LinkedIn dan platform X namun SKMM sedang susuli (tindakan walaupun penyedia perkhidmatan).
“Kita tidak akan tangguh terlalu lama sebelum tindakan diambil,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Sistem ChatbotSebenarnya.my di sini,hari ini.
Mengenai status pelesenan META, Fahmi berkata, SKMM sedang memproses sejumlah dokumen yang telah dihantar platform berkenaan baru- baru ini.
“Kita jangka dalam masa yang tidak terlalu lama, kita (status) akan diketahui,” katanya.
Setakat hari ini, tiga penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial iaitu ByteDance (TikTok), Tencent (WeChat) dan Telegram telah diberikan lesen sekali gus membolehkan mereka beroperasi di negara ini secara sah.
Menurut SKMM, kerangka pelesenan itu terpakai kepada penyedia perkhidmatan dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia. – TVS