KUCHING, 28 Jan: Orang ramai terutamanya nelayan dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan supaya berwaspada dan menangguhkan aktiviti berkaitan perairan susulan cuaca buruk yang melanda negeri Sarawak ketika ini.
Pengarah Pejabat Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim memaklumkan perairan negeri ini dijangka mengalami air pasang besar disertai tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga 30 Januari.
“Pihak MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora sehingga 30 Januari ini.
“Keadaan laut pada masa ini juga dikategorikan sebagai berbahaya kepada bot-bot kecil dengan hujan lebat serta laut bergelora yang boleh menghasilkan ombak setinggi 4.5 meter,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca terkini dan memantau sebarang amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Hari ini juga MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan peringkat waspada telah dinaikkan ke peringkat buruk.
“Antara kawasan yang terjejas termasuk Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Bintulu, Kapit dan Miri,” katanya.
Sebagai langkah persediaan, orang ramai diminta bersedia menghadapi risiko banjir, mematuhi arahan pihak berkuasa dan memastikan segala maklumat yang diperoleh adalah dari sumber yang sahih.
Justeru itu, ujarnya, masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan berita tidak berasas, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. -TVS