KUCHING, 27 Jan: Jawatan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang disandang Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dikekalkan tanpa dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung PBB yang akan berlangsung Februari depan.
Setiausaha Agung Parti PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB turut menetapkan jawatan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua dan Naib-Naib Yang Dipertua Kanan tidak dipertandingkan pada perhimpunan agung tersebut.
“Beberapa usul sudah diterima iaitu memang sebulat suara dari kesemua 82 cawangan PBB yang mengusulkan supaya jawatan Yang Dipertua parti, kedua-dua jawatan Timbalan Yang Dipertua parti dan dua lagi jawatan iaitu Naib Yang Dipertua Kanan parti tidak dipertandingkan.
“Oleh itu, semua kelima-lima jawatan ini telah diterima MKT untuk tidak dipertandingkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dipengerusikan Abang Johari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.
Sementara itu, Nanta berkata, jawatan bagi Naib Yang Dipertua PBB dan Ahli Kerja Majlis Tertinggi yang lain pula terbuka untuk dipertandingkan.
“Sebab tidak ada usul yang menyatakan apa-apa (mengenai perkara itu), ada beberapa usul yang lain tetapi sekarang nampaknya terbukalah untuk dipertandingkan (jawatan Naib Yang Dipertua dan yang ke bawah).
“Jadi, semasa mesyuarat tadi telah ditetapkan supaya pihak sekretariat akan mengeluarkan surat atau borang penamaan calon, kita juga sudah bersedia dan hanya menunggu keputusan pada mesyuarat ini.
“Kalau dalam dua ke tiga hari ini kita keluarkan borang penamaan calon, kita boleh tutup (pencalonan) selewat-lewatnya seminggu sebelum perhimpunan agung,” ujarnya. – TVS