Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Lee Kim Shin merakamkan gambar kenangan semasa Pertandingan Pembuatan Tanglung Angpau anjuran Kelab Sosial, Kebajikan dan Harmoni Miri hari ini. Foto TVS

Pembuatan tanglung buka peluang ibu tunggal asah kemahiran, kreativiti

ByVanessa Enjop

MIRI, 26 Jan: Pembuatan tanglung sempena sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan baru-baru ini membuka peluang berharga bagi golongan ibu tunggal untuk berkumpul, merayakan tradisi dan mengasah kemahiran seni kraf tangan mereka.

Acara tahunan yang diadakan di bawah Kelab Sosial Kebahagiaan dan Harmoni Diri Bahagian Ibu Tunggal ini memberi ruang kepada ibu-ibu tunggal dan anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti yang tidak hanya bermakna secara budaya, tetapi juga memberikan peluang untuk mengembangkan kreativiti.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, aktiviti seperti ini bertujuan untuk memupuk perpaduan dan mengerat hubungan dalam kalangan ibu tunggal dan anak-anak mereka.

“Melalui acara ini, mereka bukan hanya dapat merayakan Tahun Baru Cina mengikut tradisi, tetapi juga dapat mempersembahkan hasil kreativiti mereka melalui pembuatan tanglung,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.

Menurutnya, pertandingan ini juga berfungsi sebagai galakan untuk mempromosikan kraf tangan, sambil menggalakkan ibu-ibu untuk lebih terlibat dalam aktiviti seni.

“Tanglung-tanglung yang dipamerkan menunjukkan taraf yang sangat tinggi dan baik. Mereka berusaha keras untuk menghasilkan tanglung yang cantik supaya mereka dapat memenangi pertandingan ini. Ini juga adalah peluang bagi mereka untuk belajar dan mengembangkan kemahiran seni mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Sosial, Kebajikan dan Harmoni Miri, Kapitan Tang Tung Ming berkata, aktiviti pembuatan tanglung ini sangat penting kerana ia memberi peluang kepada ibu tunggal untuk melibatkan diri dalam aktiviti produktif, sekali gus mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang bermanfaat.

“Setiap tahun kami mengadakan perjumpaan ini kerana ibu tunggal biasanya tidak mempunyai masa untuk menyambut Tahun Baru Cina. Sebagai ibu tunggal, mereka perlu bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dan masa mereka sering terikat dengan tanggungjawab rumah tangga serta mencari rezeki,” ujarnya.

Tang menambah bahawa aktiviti seperti pembuatan tanglung membolehkan ibu tunggal bukan sahaja menyalurkan kreativiti mereka, tetapi juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Melalui aktiviti ini, mereka dapat masa berkualiti bersama anak-anak mereka sambil memupuk semangat kerjasama dalam keluarga,” tambahnya.

Lebih daripada 100 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini, dengan masing-masing mempamerkan tanglung yang dihiasi dengan pelbagai elemen budaya dan simbolik mengikut tradisi Cina.

Aktiviti ini, yang juga menjadi tempat berkumpulnya ibu tunggal bersama anak-anak mereka, memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, sambil mengekalkan tradisi Tahun Baru Cina yang penuh makna.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan