MIRI, 26 Jan: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas rokok seludup bernilai RM1.6 juta dalam OP Taring Landai di Jalan Miri Bypass di sini, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5, ACP Abdul Rahman Mat Hasan berkata, dalam operasi dijalankan sekitar jam 12.35 tengah hari oleh Unit Risikan Marin (URM), pihaknya menahan sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih dengan nombor pendaftaran SAA2403D yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas van tersebut mendapati kenderaan itu membawa 432,000 batang rokok kretek jenama Gudang Garam Surya yang tidak mempunyai label pelekat cukai Kastam. Pemandu tersebut juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada pihak Kastam.
“Suspek disyaki melanggar Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang melibatkan pemilikan, penyimpanan, atau pengangkutan barang tidak berkastam,” katanya dałam kenyataan hari ini.
Katanya, barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut
“Kita akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya di kawasan Miri dan seluruh Sarawak.
“Operasi seperti ini adalah bukti komitmen kami untuk memastikan kegiatan penyeludupan dapat ditangani secara tegas, demi melindungi kepentingan negara dan masyarakat,” tegasnya.
Beliau turut menyeru orang awam agar terus memberikan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan jenayah lain untuk membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan lebih berkesan.
“Rampasan ini mencerminkan keberkesanan kerjasama dan dedikasi anggota keselamatan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” jelasnya. – TVS