Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan – cadangan luar biasa yang ditentang oleh pentadbiran terdahulu di bawah Joe Biden. Foto fail AFP

Trump cadang pindahkan penduduk Palestin di luar Gaza

ByBernama

WASHINGTON, 26 Jan: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan – cadangan luar biasa yang ditentang oleh pentadbiran terdahulu di bawah Joe Biden, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari Los Angeles ke Miami, Trump berkata beliau telah membangkitkan perkara itu dalam perbualan telefon dengan Raja Jordan Raja Abdullah II manakala Presiden AS itu mungkin bercakap dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi pada Ahad.

“Saya berkata kepadanya (Raja Jordan) bahawa saya berharap baginda boleh menerima lebih ramai (penduduk) kerana saya sedang melihat seluruh Semenanjung Gaza sekarang, dan ia kucar-kacir, benar-benar huru-hara,” kata Trump. “Saya mahu baginda (Raja Jordan) menerima penduduk.”

“Saya mahu Mesir menerima penduduk. Saya akan bercakap dengan Jeneral Al Sisi esok, saya percaya. Saya mahu Mesir dan Jordan menerima penduduk,” tambah Trump.

“…Anda tahu selama berabad-abad kawasan itu mengalami banyak konflik. Dan saya tidak tahu, sesuatu perlu dilakukan,” katanya lagi.

Menyifatkan Gaza sebagai “tapak perobohan,” Presiden AS itu berkata: “Hampir semuanya musnah, dan orang ramai sedang mati di sana. Jadi, saya lebih suka melibatkan beberapa negara Arab untuk membina perumahan di lokasi lain di mana mereka mungkin boleh hidup dengan aman untuk perubahan.”

Beliau menambah bahawa langkah itu “boleh bersifat sementara atau mungkin jangka panjang.”

Pentadbiran Biden sebelum ini menentang pemindahan penduduk Gaza keluar dari wilayah itu, sebaliknya menyokong penduduk Gaza kembali ke kediaman mereka selepas tercapainya keamanan dan penyelesaian dua negara.

Serangan genosid Israel telah mengorbankan lebih 47,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 yang lain sejak 7 Okt 2023. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan