Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon Betong, di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, di Betong, hari ini. Foto TVS

PBB Zon Betong usul 14 resolusi

ByAkma Salleh

BETONG, 25 Jan: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong mengusulkan 14 resolusi pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon Betong di Dewan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, hari ini.

Usul tersebut dibacakan oleh Naib Presiden PBB Dato Sri Julaihi Narawi.

“Kami ahli PBB dari 14 cawangan Zon Betong memberi sokongan padu kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus menerajui parti serta menerajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran Sarawak dan Malaysia.

“Kedua, kami mencadangkan agar kedua-dua timbalan presiden, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan, kita juga mencadangkan agar kedua-dua jawatan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dikekalkan dalam jawatan tanpa dipertandingkan,” katanya.

Menurutnya, usul ketiga pula adalah memberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada PBB dan GPS untuk memimpin Sarawak dalam memastikan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Negeri, MA63 dan Laporan IGC dipatuhi, serta dikembalikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak.

“Keempat, kami menyokong langkah strategik Parti PBB dan GPS menuntut penghormatan dan pengiktirafan sebagai rakan kongsi setara dalam negara Malaysia.

“Kelima kami mencadangkan silibus yang wajib diambil dan lulus di semua peringkat sekolah universiti tempatan dan antarabangsa yang mempunyai cawangan kampus di Malaysia. Ini penting untuk pemahaman dan pengetahuan semua lapisan rakyat Malaysia supaya tidak berlaku salah persepsi tentang hak Sarawak dalam Malaysia. Kalau salah persepsi dalam kita menuntut hak kita boleh menimbulkan rasa dengki kepada kita.

“Keenam, kami sekali lagi mengusulkan supaya bilangan kawasan pilihan raya Parlimen di Sarawak dan Sabah ditambah kepada sekurang-kurangnya 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen di Dewan Rakyat. Ini bertujuan untuk memastikan mana-mana keputusan penting di Parlimen termasuk pindaan perlembagaan mengambil kira suara rakyat Sarawak dan Sabah,” ujarnya.

Seterusnya Julaihi berkata, ahli parti juga bertekad untuk terus memastikan status dan peranan parti PBB kekal dominan sebagai parti tulang belakang kepada kepimpinan GPS dan Kerajaan Sarawak.

“Kami terus mengingatkan parti-parti komponen GPS agar sebarang langkah dan keputusan yang mungkin mengganggu-gugat semangat kebersamaan, persefahaman dan kestabilan GPS dirujuk kepada saluran yang betul. Keputusan yang diambil harus dilakukan secara rundingan dan mendapat persepakatan dan persetujuan Parti PBB dan parti komponen yang lain dalam GPS,” jelasnya.

Kelapan, Menyokong usaha dan tindakan Kerajaan Sarawak mempastikan PETROS diiktiraf sebagai Gas Aggregator Tunggal di Sarawak berdasarkan Distribution of Gas Ordinance 2016.

Sehubungan dengan PBB Zon Betong mengalu-alukan pengumuman dan deklarasi Perdana Menteri Malaysia yang mengiktiraf Petros sebagai Gas Aggregator Tunggal di Sarawak baru-baru ini.

Kesembilan, Sebagai Gas Aggregator Tungal Sarawak melalui Petros boleh melaksanakan Sarawak Gas Roadmap (SGR) seperti yang dirancangkan dan seterusnya mempelbagaikan industri hiliran berasaskan gas, menambah peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan Sarawak dan rakyatnya.

Usul kesepuluh, mencadangkan penubuhan jurusan atau fakulti baharu di universiti milik Sarawak dan juga institusi latihan baharu yang berteraskan pembangunan sektor renewable energy, industri minyak dan gas, aero angkasa dan teknologi satelit di Sarawak. Pada masa yang sama Sarawak boleh menghantar pelajar atau pegawai bagi mengikuti latihan kepakaran di negara pelopor dalam teknologi tersebut bagi melahirkan pekerja mahir. Sekaligus menjadikan Sarawak sebagai hub kepada sektor peralihan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), industri minyak dan gas dan industri aero angkasa dan teknologi satelit di Malaysia dan Asia Tenggara.

Resolusi kesebelas pula adalah ahli parti mengusulkan supaya parti PBB dan Kerajaan GPS Sarawak terus menggandakan dan mengutamakan agenda serta pelaksanaan pembangunan di kawasan luar bandar.

Ini melibatkan usaha menaiktaraf sistem bekalan air, sistem bekalan elektrik, rangkaian kemudahan gas dan kemudahan telekomunikasi serta liputan internet di seluruh Sarawak. Di Zon Betong, kami memerlukan infra bekalan elektrik dinaiktaraf supaya bekalan elektrik di Zon Betong menjadi lebih stabil.

Ke-12, mentransformasikan sektor pertanian, penternakan dan perikanan di Sarawak dengan membina lebih banyak infrastruktur pertanian serta mengaplikasikan teknologi terkini dan sistem pemasaran yang lebih sistematik.

Sementara itu, resolusi ke-13 melibatkan usaha mempercepat dan menggandakan usaha membina semula dan membaikpulih sekolah daif di seluruh Sarawak.

Tindakan segera dan serius Kementerian Pendidikan Malaysia adalah dituntut.

Resolusi terakhir melibatkan usaha membangunkan rangkaian fiber optik di kawasan Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Saribas, Bukit Saban, Layar, Kalaka, Kabong dan Saratok dan lain-lain tempat di Zon Betong untuk meningkatkan jaringan dan liputan kemudahan telekomunikasi termasuk kemudahan Internet. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan