MIRI, 23 Jan: Terminal Bas Miri yang baharu dibuka kini menjadi kebanggaan penduduk setempat dengan peningkatan ketara dalam kemudahan dan keselamatan.
Pembaharuan ini dilihat sebagai langkah besar ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih moden dan efisien di bandar raya ini.

Jemat Panjang, seorang penumpang berusia 67 tahun, berkongsi pandangannya mengenai terminal baharu ini.
“Ini adalah satu pembaharuan yang membanggakan penduduk di bahagian Miri, kerana terminal ini kini setanding dengan pengusaha-pengusaha bas di Semenanjung Malaysia.
“Miri merupakan destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian dan dengan adanya terminal baharu ini, ia pasti menjadi daya tarikan utama kepada pelancong.
“Dahulu, perjalanan dari Kuching ke Miri memakan masa kira-kira 15 jam. Namun, dengan adanya Lebuhraya Pan Borneo, perjalanan kini lebih singkat dan mudah,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan beberapa penambahbaikan, khususnya pada kiosk tiket yang kadang-kadang sesak dengan pengunjung.
“Walaupun begitu, terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dari segi kiosk tiket. Dengan peningkatan jumlah pengunjung dan pengguna, kaunter tiket kadang-kadang sesak.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar lebih banyak kiosk layan diri disediakan bagi memudahkan pembelian tiket. Sistem pembelian tiket secara dalam talian juga perlu diperluaskan kerana ia bukan sahaja memudahkan pengguna tetapi juga mengurangkan keperluan pekerja di kaunter tiket,” tambahnya.
Seorang pembantu penyelia Easybook, Beatrice Audrey, 26, berkata sistem pembelian tiket kini lebih sistematik dan teratur.
“Di terminal baru, sistem pembelian tiket kini sudah disentralisasikan. Sebelum ini, di terminal lama, setiap bas seperti Bas Asia mempunyai kaunter sendiri. Namun, sekarang semuanya telah diatur di satu tempat yang lebih sistematik,” ujarnya.
Beatrice turut memuji kemudahan baharu yang telah diperkenalkan, termasuk sistem pembelian tiket secara dalam talian yang memudahkan penumpang.
“Penumpang hanya perlu membuat pembelian secara dalam talian dan pas masuk boleh dicetak di kaunter. Proses ini menjadikan pembelian tiket lebih mudah dan moden.
“Sebagai contoh, selepas membeli tiket, penumpang akan menerima kod QR untuk imbasan, sama seperti sistem pas masuk penerbangan,” tambah Beatrice.
Sementara itu, Syaizatul Eized Ibrahim, 22, yang bekerja di kaunter tiket, mengakui perubahan besar dalam aspek keselesaan dan keselamatan di terminal baharu ini.
“Terminal bas lama sering kali sempit dan kurang selesa dengan kemudahan yang terhad. Sebaliknya, terminal baharu menawarkan ruang yang lebih luas, beroperasi 24 jam dan dilengkapi dengan pelbagai kedai untuk kemudahan penumpang. Ini meningkatkan keselesaan dan keselamatan bagi semua pengguna,” ujar Syaizatul.
Syaizatul berharap semua pihak akan bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan keselamatan terminal ini agar dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik dan kekal dalam keadaan yang baik untuk kegunaan bersama.
Dengan perubahan yang ketara ini, Terminal Bas Miri kini dilihat sebagai satu simbol kemajuan yang akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, menjadikannya lebih mesra pelancong dan selamat untuk semua.