KUCHING, 22 JAN: Usaha kerajaan Sarawak dalam memerangi perubahan iklim semakin progresif dengan pelaksanaan dasar dan kerangka undang-undang yang bukan sahaja melindungi alam sekitar, tetapi juga memberi impak positif kepada kelestarian ekosistem global.
Pencapaian cemerlang Sarawak, seperti pengeluaran Lesen Karbon Hutan (FCL) pertama pada Julai 2023 di bawah Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022 membuktikan komitmen teguh dalam memelihara dan memulihkan hutan melalui projek yang memberi tumpuan kepada penyerapan karbon dan pemuliharaan ekosistem.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini merupakan langkah penting ke arah menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam pembangunan hijau dan ekonomi lestari.
“Lesen ini melibatkan kawasan seluas 25,676 hektar untuk Projek Pemuliharaan dan Pemulihan Hutan Marudi, yang menumpukan kepada Pemuliharaan hutan, Pemulihan ekosistem serta Penyerapan karbon. “ Kata Abang Johari.
Justeru katanya, projek ini bukan sahaja membantu memitigasi kesan perubahan iklim, tetapi juga menjana kredit karbon yang kini menjadi salah satu aset bernilai tinggi di pasaran karbon global.
“Dengan peraturan yang kukuh dan inisiatif seperti Projek Hutan Marudi, Sarawak bukan sahaja melindungi ekosistem tetapi juga membuka peluang perniagaan baharu dalam pasaran karbon global.” Tambahnya.
Menurutnya, Peraturan Hutan 2022 menjadi langkah penting dalam menyediakan kerangka undang-undang yang jelas bagi aktiviti karbon hutan.
Malah inisiatif itu turut membuka peluang ekonomi baharu kepada pelabur, dan menyokong matlamat Sarawak mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Usaha ini juga memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui peluang pekerjaan dalam pemuliharaan dan pemantauan hutan. -TVS