KUCHING, 22 Jan : Sarawak mengambil langkah ke hadapan dalam inovasi teknologi dengan memperkenalkan penghasilan kulit sintetik daripada gas asli yang dijangka mengubah landskap industri kimia negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini mendahului dalam penerokaan potensi gas asli untuk menghasilkan produk bernilai tinggi.
Beliau turut berkongsi pengalamannya menyaksikan demonstrasi teknologi terkini yang mengubah gas menjadi kulit sintetik melalui proses kimia.
“Kita sering mengaitkan kulit dengan haiwan, tetapi pagi tadi saya menyaksikan demonstrasi bagaimana gas boleh dipecahkan melalui proses kimia untuk menghasilkan kulit sintetik. Ini adalah pencapaian yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di Wisma Bapa Malaysia di sini, petang ini.
Jelasnya, proses ini melibatkan teknologi ‘cracking’ gas untuk menghasilkan bahan asas seperti etilena dan asetilena yang kemudiannya diproses menjadi kulit sintetik.
“Sarawak kaya dengan sumber gas. Dengan teknologi ini, kita bukan sahaja dapat memanfaatkan sumber tersebut, tetapi juga mencipta produk bernilai tinggi,” jelas beliau.
Premier turut menekankan bahawa inovasi ini memerlukan tenaga kerja yang mahir dalam bidang kejuruteraan dan kimia asas.
“Graduan kita perlu memahami proses ini. Mereka yang terlibat dalam teknologi seperti ini akan menerima pendapatan yang tinggi kerana nilai tambah yang dihasilkan.
“Dengan inovasi seperti ini, kita dapat menggerakkan ekonomi negeri ke arah yang lebih maju dan berdaya saing di peringkat global,” tambahnya. – TVS