KUCHING, 22 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mencadangkan penubuhan sebuah badan amanah yang bertujuan mengurus dan melindungi aset umat Islam di wilayah ini, terutama yang terjejas akibat permasalahan faraid.
Menurutnya, harta keluarga Islam sering kali terhakis disebabkan oleh isu pembahagian yang tidak terurus, menyebabkan aset tersebut berpindah tangan, terutamanya apabila nilai harta tersebut adalah bersifat komersial dan tinggi.
“Sebab itu, saya telah menyuarakan supaya ada sebuah badan amanah yang boleh mengambil alih pegangan harta-harta orang Islam yang terpaksa dibahagikan oleh waris-waris pemilik harta tersebut,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah Sarawak 2025 di sini, malam tadi.
Tambahnya, langkah ini penting untuk memastikan pengurusan aset umat Islam dapat dipertahankan dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan kedudukan ekonomi mereka.
Selain itu, Abang Johari turut menyeru pakar-pakar undang-undang Islam untuk meneliti kaedah penilaian tanah wakaf dan aset yang diwakafkan dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi masyarakat Islam.
“Dengan sumber tersebut, saya rasa kita, setidak-tidaknya, dapat memperkuatkan kedudukan ekonomi orang Islam.
“Ini termasuk wakaf pertanian dan tanah wakaf yang akan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi masyarakat Islam,” katanya.