KUCHING, 20 Jan: Penerapan elemen Kecerdasan Buatan (AI) dalam pembelajaran Bahasa Iban merupakan langkah efisien dalam melahirkan bakal pendidik yang mahir dan berkualiti.
Timbalan Dekan Prasiswazah Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (UNIMAS), Remmy Gedat berkata, ia bertujuan untuk melahirkan bakal pendidik yang tidak hanya mampu mengajar Bahasa Iban tetapi juga menguasai elemen AI dalam pembelajaran.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa generasi guru masa depan yang boleh menggabungkan pengajaran Bahasa Iban dengan perkembangan teknologi terkini.
“Dengan menerapkan elemen AI dalam kurikulum, kami berharap program ini dapat melahirkan pendidik yang lebih serba boleh dan bersedia untuk menghadapi cabaran dunia pendidikan masa depan,” katanya pada Majlis Perasmian Pembangunan Kurikulum Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Iban di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Remmy berkata, penawaran program ini dijangka akan memberi impak positif terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Iban di Sarawak sekali gus memastikan bahasa ibunda ini terus berkembang dan relevan.
Jelasnya, ia juga merupakan platform bagi menangani kekurangan guru yang terlatih dalam pengajaran Bahasa Iban.
“Seperti yang dimaklumkan oleh (Datuk Amar Douglas Uggah Embas) tadi, memang terdapat kekurangan guru dalam pengajaran Bahasa Iban, dan itulah sebab utama kami cuba untuk memenuhi kekurangan ini. Dengan adanya program ini, kami berharap dapat melahirkan lebih ramai guru yang bukan sahaja mahir dalam Bahasa Iban tetapi juga memiliki kemahiran dalam bidang-bidang lain,” jelasnya.
Mengulas mengenai bengkel Pembangunan Kurikulum untuk Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Bahasa Iban, dia memaklumkan bahawa bengkel ini bertujuan untuk membangunkan dan menyusun kurikulum yang akan menyentuh beberapa aspek penting dalam Bahasa Iban.
Ia termasuk penentuan kursus-kursus yang perlu ditawarkan, penstrukturan keseluruhan program serta perancangan pelan pembelajaran Bahasa Iban.
Bengkel dianjurkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) selama empat hari mulai hari ini hingga 23 Januari akan dihadiri pakar dan pensyarah yang terlibat dalam pembangunan kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Bahasa Iban-TVS