SIBU, 31 Ogos: Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Hilir, Sibu pada Isnin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.27 malam.
Ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu ditemui terbaring di atas bumbung sebuah rumah.
Pihak bomba bertindak menghubungi Sesco untuk memutuskan bekalan elektrik bagi membolehkan operasi menyelamat dijalankan.
Mangsa yang dikenali sebagai Syazwan Saifullah Roslan berjaya dibawa turun dari bumbung berkenaan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.