Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menghadiri program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baru Cina di Steven Minyak Shell Permyjaya, hari ini. Foto TVS

Lebih berwaspada di jalan raya semasa musim perayaan

ByVanessa Enjop

MIRI, 20 Jan: Pengguna jalan raya di seluruh Sarawak perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan lalu lintas menjelang musim perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, peningkatan jumlah pengguna jalan raya semasa perayaan turut meningkatkan risiko kemalangan.

“Apabila ramai yang pulang ke kampung, jumlah kenderaan di atas jalan raya bertambah dan ini meningkatkan kemungkinan berlakunya kemalangan.

“Dalam kesempatan ini, kami ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati untuk memastikan keselamatan bersama,” katanya ketika melancarkan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2025 di sini, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 95 peratus daripada kes kemalangan yang berlaku di Sarawak adalah berpunca daripada faktor manusia seperti kelalaian dan kecuaian pemandu.

“Selain itu, pertambahan jumlah kenderaan sebanyak tiga peratus serta faktor cuaca, jalan dan bentuk muka bumi sebanyak dua peratus turut menyumbang kepada kemalangan.

“Pemakaian tali pinggang keledar dan elakkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu adalah langkah mudah yang boleh menyelamatkan nyawa,” ujarnya.

Kim Shin berkata, bagi meningkatkan kesedaran keselamatan, kerajaan melancarkan beberapa inisiatif seperti program MyLicense yang membantu pelajar sekolah mendapatkan lesen memandu dengan bayaran mampu milik.

“Kami dapati ramai pelajar sekolah menengah menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar. Program ini bertujuan memastikan mereka memahami peraturan jalan raya seterusnya mengelakkan kemalangan,” jelasnya.

Menurutnya, sebagai usaha mendidik masyarakat tentang keselamatan jalan raya, Kementerian Pengangkutan Sarawak turut memperkenalkan program ABC (Attitude, Behaviour, Change).

“Program ini bertujuan mengubah sikap dan kelakuan pengguna jalan raya supaya lebih berhemah. Ia telah dilaksanakan di pelbagai kawasan seperti Kuching, Miri, dan Limbang,” jelasnya.

Sementara itu, Kim Shin turut memperkenalkan sampul angpau Tahun Baharu Cina yang bertemakan keselamatan jalan raya sebagai inisiatif baharu meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya semasa perayaan.

“Saya berharap kempen keselamatan ini dapat mengurangkan kemalangan jalan raya serta memastikan semua orang dapat meraikan Tahun Baru Cina dengan gembira dan selamat,” kata Kim Shin.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan