SIBU, 20 Jan: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mempertimbangkan untuk membuka sebuah Pusat Temu Duga di Limbang iaitu bahagian paling utara di Sarawak pada masa akan datang.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata ini mengambil kira keluasan Sarawak dan SPA berhasrat memberikan penduduk di bahagian berkenaan akses kepada pusat itu.
Pusat temu duga terdekat dengan bahagian itu adalah di bandar raya Miri yang sejauh kira-kira 188 kilometer.
“Pembukaan pusat itu akan mengambil kira jumlah calon yang memohon pekerjaan perkhidmatan awam di bahagian berkenaan,” katanya.
Beliau merangkap pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Temu Duga SPA Sibu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.
Ahmad Jailani berkata SPA berusaha meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya kepada pemohon pekerjaan dengan menyediakan prasarana selesa dan selamat selain mesra kepada golongan orang kurang upaya.
Perkara berkenaan sudah tersedia di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi kemudahan rakyat mendapat perkhidmatan kerajaan dengan mengoptimumkan kapasiti dan sumber sedia ada.
Beliau berkata SPA mempunyai 17 buah pusat temu duga di seluruh negara, lapan daripadanya terletak di Perak, Pulau Pinang, Perlis, Negeri Sembilan, Johor serta Kuching, Miri dan Sibu di Sarawak ditempatkan di bangunan UTC.
Pusat Temu Duga Sibu mula beroperasi di Lot 146, Aras 4, UTC Sibu secara rasmi sejak 18 Nov tahun lepas.
Berkeluasan 236.72 meter persegi ia dilengkapi lima bilik temu duga masing-masing satu bilik rehat panel temu duga, bilik fail/stor dan bilik pantri serta ruang menunggu.
la menyediakan kemudahan lebih mudah diakses oleh calon dari sekitar bahagian Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit.
Selain menjadi lokasi temu duga, pusat itu juga antara lain menyediakan kemudahan Internet kepada calon untuk menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) – Ujian Psikometrik, konsultasi berkaitan Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9) dan konsultasi pengambilan ke perkhidmatan awam.
Sebelum ini, pusat berkenaan beroperasi di premis swasta yang disewa selama 12 tahun dan berada di lokasi agak terpencil serta jauh dari agensi kerajaan yang lain. -TVS