KUCHING, 20 Jan: Salasilah keturunan Pengiran Sarawak bakal dibukukan sebagai satu sejarah untuk manfaat generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Keturunan dan Waris Pengiran Sarawak, Awang Magerib Awang Ani berkata, perkara itu dibincangkan bagi mengukuhkan usaha pertubuhan untuk mengumpul, memelihara sejarah dan identiti keturunan pengiran yang berada di Sarawak.
“Kewujudan keturunan yang kita harapkan selama ini menjadi satu kenyataan untuk kita mengumpul salasilah kekeluargaan kita dari Brunei sampai ke Sarawak akan tercapai.
“Jadi hasil daripada pertemuan bersama dengan TYT tadi mendapat satu respons yang baik untuk menyokong hasrat pertubuhan untuk mengeratkan silaturahim di antara keturunan yang ada di Sarawak khasnya Pengiran, Wan, Sheikh ataupun mana-mana keturunan yang lain. Inilah salah satu daripada agenda mengapa pertubuhan kita ini ditubuhkan.
“Kita akan teruskan perjuangan untuk mengumpul sebanyak mungkin salasilah yang terdapat di Sarawak sebagai satu budaya agama dan basaha kita yang terjangkau,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat kepada TYang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, di sini, hari ini.
Jelasnya, pertubuhan tersebut turut bekerjasama dengan pihak yang berkaitan khasnya UiTM ataupun mana-mana agensi kerajaan untuk mengumpul maklumat mengenai kewujudan keturunan pengiran di Sarawak.
“Sekarang ini, kita tengah menunggu daripada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan restu supaya pertubuhan kita dapat pengesahan kepada kelahiran baharu melibatkan keturunan yang ketika ini tidak ada Awang atau Dayang. Denganpengesahan ini maka, mungkin Jabatan Pendaftaran Negara boleh menerima apabila kita membuat pengesahan terhadap keluarga kita yang ingin pohon,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada Tun Dr Wan Junaidi yang menyokong penuh usaha pertubuhan memastikan sejarah keturunan pengiran Sarawak terpelihara.-TVS