SARIKEI, 20 Jan: Seorang warga emas dari Rumah Nugu Kerubong, Jalan Selalang, dekat sini, yang hilang di kebun sejak Ahad, dijumpai meninggal dunia hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat Rampai Jeti, 71, dijumpai orang awam kira-kira jam 7:00 pagi di dalam sungai.
“Pasukan mencari dan menyelamat bertindak memasukkan mayat mangsa ke dalam beg mayat dan membawanya keluar dari hutan.
“Seterusnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap JBPM Sarawak berkata, kehilangan lelaki warga emas itu dilaporkan oleh anak saudaranya.
“Anak saudara mangsa memaklumkan berkemungkinan bapa saudaranya telah hilang dan dikhuatiri lemas di sebuah anak sungai berhampiran kebun,” ujarnya.