KUCHING, 19 Jan: Seorang lelaki warga emas kini berdepan tindakan undang-undang selepas terbabit dalam kemalangan serius di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran Maybank, Off Jalan Laksamana Cheng Ho di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan perkara itu berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu melibatkan sebuah pacuan empat roda yang dipandunya serta dua kenderaan lain dan seorang pejalan kaki yang cedera parah.
“Siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 60 tahun itu dikatakan hilang kawalan ketika memandu, menyebabkan kenderaannya meluru ke arah seorang pejalan kaki yang berada di hadapan premis Maybank.
“Rempuhan kuat tersebut turut menyebabkan keseluruhan cermin hadapan premis Maybank pecah berkecai, mencetuskan suasana panik di lokasi kejadian.
“Tidak terhenti di situ, kenderaan itu kemudiannya melanggar dua buah kenderaan lain sebelum berhenti selepas menghentam tembok sebuah rumah dalam keadaan mengundur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa seorang lelaki tempatan berusia sekitar 60 tahun, mengalami kecederaan serius di bahagian kaki kiri dan kepala.
“Dia kini sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak”, tambahnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan denda antara RM4,000 hingga RM10,000, selain berdepan hukuman penjara sehingga 12 bulan.
Pihak polis turut menyeru agar mana – mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Saundri A/P Govinda Rajoo di talian 011-27549620 / 082-259900 atau mana – mana balai polis yang berhampiran. -TVS