KUCHING, 18 Jan: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Samarahan semalam, atas pertuduhan memiliki barangan kawalan tanpa lesen.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, tertuduh didakwa atas kesalahan memiliki barangan kawalan tanpa lesen iaitu gula kasar sebanyak 432 kilogram semasa pemeriksaan dilakukan oleh rakan strategik KPDN di kawasan tanpa nama di Serian.
“Pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Shafiza Datu Abdul Razak Tready ke atas lelaki yang berusia 37 tahun itu di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disabitkan denda sebanyak RM15,000.
“Tertuduh gagal membayar denda dan diarahkan menjalani hukuman penjara selama lapan bulan serta barangan eksibit telah dilucuthak dan dijadikan hasil kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, masyarakat dipohon supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi atau sebarang aduan melalui WhatsApp 019-848800 atau email e-aduan@.kpdn.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 atau Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – TVS