Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Romel Morales (tiga, kanan) menjaringkan gol semasa menentang pasukan Terengganu FC (TFC) pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. Foto Bernama

Piala Malaysia: JDT sebelah kaki di final

ByBernama

KUALA NERUS, 18 Jan: Penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih bekalan selesa apabila membenam Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.

Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu tuan rumah dengan percubaan seawal minit kedua menerusi penyerang sensasi Bergson Da Silva.

Bagaimanapun, rembatan lemah tersebut ditangkap mudah oleh penjaga gol skuad Penyu, Muhammad Rahadiazli Rahalim, yang sudah bersedia di depan gawang.

Tersentak dengan percubaan tersebut, tuan rumah bangkit melakukan serangan balas dan beroleh peluang pada minit kelapan, namun percubaan leret Nurillo Tukhtasinov yang lemah berjaya ditangkap oleh penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Bagaimanapun, pada minit ke-17, gawang skuad Penyu akhirnya bolos selepas serangan demi serangan oleh skuad Harimau Selatan yang diketuai Matthew Davies.

Gol pertama JDT diperoleh melalui pemain naturalisasi Romel Morales yang menyambar bola muntah hasil tandukan Park Ju-Heong berpunca daripada sepakan sudut Juan Muniz.

Pintu gawang Terengganu sekali lagi dibolosi hasil percubaan Morales pada minit ke-35, namun jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil, Fitri Maskon, selepas meneliti video bantuan pengadil (VAR) akibat kekasaran pemain import Iker Undabarrena.

Kedudukan kekal dengan JDT mendahului TFC 1-0 selepas tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan kembali mengatur rentak permainan untuk mendapatkan jaringan sebagai bekalan.

Peluang terbaik pasukan tuan rumah yang dibimbing Badrul Afzan Razali untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-62, namun rembatan deras Manuel Ott sedikit tinggi melepasi palang.

Pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanafi, muncul wira JDT apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-79 dan ketiga pada minit ke-84, menjadikan JDT mendahului 3-0.

Pada masa kecederaan, giliran Bergson pula menambah derita lebih 11,000 penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat, sekali gus membawa bekalan selesa 4-0 pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 1 Feb depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan