Tanjung Manis, 17 Jan: Dua buah kapal tunda terbiar terbakar berhampiran pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Tanjung Manis (LKIM) di sini, tengah malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak melaporkan panggilan kecemasan diterima sekitar 12.02 tengah malam sejurus itu sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis bergegas ke lokasi.
Menurut Komander Operasi, Adam Gauk, semasa kejadian berlaku, keadaan air sungai surut, tiada akses serta tanah belumpur, becak menyukarkan pergerakan anggota ke lokasi kebakaran kapal tersebut.
“Anggota diarahkan membuka pagar dawai untuk akses ke lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman dilakukan dari bahagian luar kapal tersebut dengan menggunakan teknik defensif sehingga api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya,” katanya hari ini.
Adam mendedahkan tragedi itu melibatkan sebuah kapal terbakar sebanyak 80 peratus, manakala sebuah lagi hanya lima peratus musnah.
“Tiada mangsa terlibat dalam kebakaran dan operasi tamat pada 1.47 pagi,” ujarnya.
\