BINTANGOR, 16 Jan: Kerajaan akan membekalkan jentera pertanian kepada persatuan peladang untuk disewakan kepada petani dan usahawan kecil.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisatif tersebut berupaya mendidik petani dan usahawan kecil untuk mula membiasakan diri mengendalikan jentera disamping meningkatkan produktiviti.
“Kalau kita lihat tadi, penggunaan jentera mampu menyelesaikan tuaian dalam tempoh satu jam untuk satu hektar (kawasan penanaman padi). Saya minta jentera perlu ada di sini (Bintangor) sebab di Gedong sudah ada.
“Jadi kita perlu guna jentera. Kerajaan akan beli jentera dan diuruskan oleh persatuan peladang. Mereka akan sewakan dan selepas seorang selesai menggunakannnya, ianya boleh digunakan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penuaian dan Perasmian Kilang Onemas Agriculture Sdn Bhd di sini, hari ini.
Menurutnya, untuk ke arah penggunaan jentera dalam kalangan petani dan usahawan, kerajaan akan terus giat memberi pendidikan untuk mengubah dan melatih golongan tersebut terlebih dahulu.
“Kita nak ubah pemikiran masyarakat untuk menggunakan cara dan teknologi baharu. Graduan juga boleh terlibat sama (sebagai petani) kerana upahnya akan jadi lebih besar kerana mereka perlu mengendalikan mesin. Lebih banyak pakar teknikal diperlukan,” ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, usaha untuk mendidik petani moden beralih kepada cara dan mahir menggunakan teknologi akan mengambil tempoh yang lama.
“Kita sasar dalam tempoh lebih kurang lima tahun. Ia memerlukan masa tetapi tidak mustahil kerana kalau kita lihat sekarang ini SKAS (Sumbangan Keperluan Asas) menggunakan digital (Spay Global).
“Orang takut guna cara baharu, jadi kita beri masa (beradaptasi),” jelasnya.-TVS