MIRI, 15 Jan: Institusi latihan teknikal di Sarawak terus menjadi tonggak utama dalam memenuhi keperluan tenaga kerja sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sejajar dengan perkembangan teknologi terkini.
Pengarah Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Dr Ramli Rashidi, berkata institusi latihan teknikal mampu melahirkan tenaga kerja yang bersedia menyumbang kepakaran ke pasaran kerja melalui penyediaan latihan relevan dan terkini.
“Institusi perlu menawarkan kemudahan latihan yang moden serta kursus yang berkaitan dengan teknologi terkini, seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), dan teknologi tinggi dalam era Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Forum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Menjana Tenaga Kerja Masa Depan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Miri, hari ini.
Sementara itu, Amirah Othman, Pakar Bidang Modul dari Brunei Darussalam, turut berkongsi pandangannya mengenai kolaborasi antara institusi TVET di Brunei dan Malaysia.
Menurut beliau, institusi di kedua-dua negara boleh memanfaatkan kepakaran industri untuk memastikan latihan yang diberikan kekal relevan dengan keperluan semasa dan teknologi terkini.
“Industri kami sentiasa dikemas kini dengan teknologi kerana mempunyai staf yang berkemahiran tinggi. Dengan adanya kolaborasi yang kukuh, kami dapat berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dengan Malaysia, sekali gus mewujudkan situasi yang saling menguntungkan,” jelasnya.
Amirah turut menekankan keperluan institusi untuk sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan pesat teknologi, terutamanya dalam bidang telekomunikasi dan aplikasi teknologi pintar.
“Teknologi berkembang dengan pantas, kadangkala dalam tempoh dua tahun sahaja. Dengan perkembangan ini, institusi perlu memanfaatkan peluang untuk melatih tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan,” tambahnya.