KUALA LUMPUR, 14 Jan: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntuk sejumlah RM45.37 juta untuk membaiki jalan rosak akibat banjir Monsun Timur Laut di Semenanjung Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebanyak RM15.7 juta diperuntuk untuk penyenggaraan berkala pavement yang melibatkan 13 bilangan kerja.
“(Manakala) kerja berkala bukan pavement (sejumlah) RM26.97 juta disalurkan, jambatan rosak sebanyak RM1.5 juta dengan tiga bilangan kerja, lampu isyarat dan lampu jalan kampung pula sebanyak RM1.2 juta dengan lapan bilangan kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid KKR di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara itu beliau memaklumkan, KKR telah mengenal pasti sembilan lokasi jalan rosak dan cerun runtuh di seluruh negara dengan lima daripadanya di Perak, dua di Kelantan dan dua di Terengganu.
Sementara itu, beliau memaklumkan peruntukan yang disediakan untuk membaiki jalan rosak di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula berjumlah RM35.72 juta.
Jelas beliau, RM9.78 juta untuk kerja berkala bukan pavement.
“Di Sarawak juga kos penyelenggaran berkala pavement yang kita perlu ialah sebanyak RM6.55 juta dengan tiga bilangan kerja dan kerja-kerja berkala bukan pavement, RM4.15 juta untuk tiga bilangan kerja,” katanya. – TVS